Penerbit drama Cinderella, Mohd Noor Kadir meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Penerbit yang juga Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir, 69, menghembuskan nafas terakhir disyaki akibat kanser tahap empat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 1.57 pagi ini.

Berita pemergiannya disahkan sahabat baiknya yang juga produser terkenal, Datuk Yusof Haslam kepada BH Online.

Yusof berkata, dia amat terkejut dengan berita pemergian sahabat baiknya itu.

"Arwah menjalani pembedahan jantung, bulan lalu. Arwah sudah balik rumah, namun, dikejarkan ke HKL semula selepas jantungnya bengkak.

"Jumaat lalu, saya ada melawatnya. Keadaannya agak lemah, tetapi masih boleh melayan saya berbual.

"Ikutkan, saya mahu melawat arwah hari ini (Jumaat), saya memang tergerak hati nak menjenguknya lagi.

"Namun, Allah lebih menyayangi arwah. Isteri, Datin Patimah Ismail mengejutkan saya sedang tidur selepas mendapat panggilan telefon anak arwah kira-kira jam 2.15 pagi," katanya yang dalam perjalanan ke HKL ketika dihubungi BH Online.

Yusof berkata, dia diberitahu arwah juga berdepan beberapa komplikasi selepas menjalani pembedahan jantung.

"Minggu lalu, arwah dikejarkan semula ke HKL disebabkan jantung bengkak, kemudiannya paru-paru berair.

"Terbaharu, arwah disyaki mengalami kanser tahap empat, namun, belum dapat disahkan kanser jenis apa sebelum meninggal dunia," katanya dengan sebak.

Jenazah produser terkenal era 1990-an masih berada di HKL, manakala urusan pengebumian belum ditetapkan.

Terdahulu, Allahyarham Mohd Noor pernah menerbitkan drama popular seperti Cinta Korporat, Marabbuka, Cinta Antara Benua, Cinderella, Romeo & Juliet, Salam Taj Mahal dan Kama Sutra pada era 1990-an.

Kebanyakan drama yang diterbitkan memilih lokasi penggambaran di luar negara. Malah, impak mutu drama menjadikan nama Kuasatek Pictures terkenal sebagai syarikat pengeluar drama di Malaysia dan sering dinantikan ramai.

Selain itu, Kuasatek Pictures itu juga pernah menerbitkan filem Mr Cinderella dan Mr Cinderella 2 yang menjalani penggambaran di New Zealand.

Bagaimanapun, Allahyarham pernah meninggalkan dunia seni bagi memberi tumpuan kepada syarikat kejuruteraan, namun, kembali menerbitkan beberapa drama selepas lima tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form